PENGANJURAN ANUGERAH NASYID MALAYSIA 2020 – #ANAM2020
Apabila saya mendapat teks siaran media ANAM2020 baru-baru ini, hajat mahu dimuatnaik ke blog ini, namun setelah melihat beberapa media telahpun mendahului, saya berpendapat lebih elok saya membuat artikel dari sudut yang berbeza.
Jalan Berliku
Terlebih dahulu saya bagi pihak IslamicTunes ingin mengucapkan syabas kepada semua penggerak dan Ahli Jawatankuasa MUNSYID yang menurut kata Sdr. Razin selaku Presiden Munsyid kepada kami baru-baru, ini walaupun lega, namun usaha ini amatlah mencabar dan berliku-liku.
YB Dato’ Saifuddin Abdullah (Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia) |
Tahniah juga perlu diucapkan kepada YB Dato’ Saifuddin Abdullah selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad al-Bakri yang mempunyai iltizam tinggi bagi merealisasikan penganjuran ini termasuk menyediakan venue, peralatan dan bajet yang bernilai RM1 juta ini. Tanpa keinginan dan visi serta ketegasan mereka, pasti agak sukar mengusung matlamat memartabatkan nasyid walaupun kita dianggap sebagai pelopor nasyid kontemporari yang diakui di peringkat global!
Citra Kepimpinan Bervisi Terhadap Nasyid
Justeru saya amat bersetuju dengan citra kepimpinan kerajaan baru di samping mempunyai Menteri-menteri yang mempunyai visi serta begitu mengambil berat tentang nasib penggiat-penggiat nasyid tempatan yang sebahagian besarnya amat saya kenali. Saya juga amat terharu kerana kerajaan kini telah mengambil keputusan untuk memberi bantuan kepada pembangunan seni budaya Islam secara keterlibatan yang lebih serius.
Namun persoalannya berbaloikah peruntukan yang disediakan jutaan ringgit oleh Kerajaan kepada sebuah penganjuran hanya untuk memberi penganugerahan kepada penggiat nasyid yang semakin lesu tidak bermaya? Apakah tindakan memulakan dengan pengacaraan anugerah nasyid ini yang pastinya dihiasi dengan sambutan gilang-gemilang (sebab ada bajet besar dari kerajaan, yang tentunya dari duit rakyat) itu satu keputusan yang wajar atau tepat? Adakah ianya merupakan jawapan kepada masalah kelesuan nasyid ketika ini lalu dengan acara ini dapat mengangkat kembali industri nasyid (sekali lagi, jika layak dikatakan sebagai industri!)
Adakah Nasyid itu Industri?
Adakah saiz 300 kalangan penggiat kalangan MUNSYID layak dikelasifikan sebagai industri? Atau apakah hanya dengan bertemu dengan beberapa kelompok ‘elit’ yang bertaraf seleberiti sudah memadai menjustifikasikan kelayakan pengajuran sebuah acara anugerah bertaraf nasional?
Bila kedua Menteri menyebut tentang impak industri nasyid Malaysia kepada ekonomi, saya dari awal lagi mengatakan memang sudah sewajarnya nasyid diberikan keutamaan kepada sebagai produk eksport seni Malaysia ke dunia kerana hakikatnya tiada lagi genre muzik atau lagu buatan anak Malaysia yang berjaya melangkau serata dunia melainkan genre nasyid.
Namun itu semua telah berlalu. Penasyid-penasyid dulu walaupun pernah berada di ranking yang teratas dari segi jualan dan pendapatan baik dari rakaman atau persembahan kini hakikatnya tidak lagi teguh berada di dalam industri muzik secara amnya.
Fakta nasyid suatu ketika dulu telah menjajah pasaran global telah saya jelaskan dalam pertemuan itu namun ianya adalah sesuatu perkara yang negara telah terlepas untuk mengambil peluang tersebut oleh Kerajaan yang lalu. Kini ianya sudah tidak seperti dulu dan perniagaan muzik dan konten kreatif sudah berubah 360°, malah cara konsumer mendengar dan membeli juga telah berubah disebabkan teknologi digital dan streaming yang menjadi semakin trending.
Penasyid Jangan ‘Tamak’
Jadi sebenarnya kita harus bermula semula, membina semula dari asas. Samada kerajaan sedar atau tidak, sebenarnya nasyid sudah tidak lagi menjadi hanya satu-satunya media bagi hiburan dalam Islam bagi berhibur. Penasyid tidak perlu menjadi terlalu ‘tamak’ untuk menguasai dan menjuarai medium hiburan Islam!
Data-data emosi tidak meyakinkan pihak pelabur membuat tajaan bilamana MUNSYID gagal berevolusi atau hilang jati diri dalam mengekalkan seni nasyid itu sendiri. Malah ada penasyid sendiri yang keliru seperti mana kata Dr. Fitri Haris sendiri! (saya akan membuat review yang berasingan berkenaan perkara ini, insyaaAllah diberikan kesihatan yang baik untuk menulis!)
Sebaliknya banyak acara-acara yang bersifat ‘anti-estabilshment’ dan konservatif seperti acara sambutan hol Akbar, Hol perdana, Majlis zikir, Mawlid dan lain-lain mula mendapat perhatian. Acara yang menggabungkan elemen pembelajaran tauhid, tasawwuf, sufi dan kumpulan tarekat dengan hiburan seni budaya mula bertambah meriah. Malah ramai pelawat dan pelancong datang ke negara ini untuk bersama-sama meraikannya. Saya pernah beritahu pegawai Islamic Tourism Centre (ITC) beberapa tahun dulu berkenaan cadangan IslamicTunes Festival namun tiada apa-apa yang berlaku.
Ini tidak termasuk munculnya ramai keturunan Pak Habib dari salasilah ahlul bait mula ramai yang telah keluar bercampur dengan komuniti terbuka. Acara-acara ini dibanjiri oleh peminat-peminat ilmu dan seni hiburan Islam yang terdiri bukan saja dari dalam negara, malah dari luarnegara.
Seperti yang pernah saya jelaskan, konten Islamik bukanlah semata-mata nasyid, malah akar-umbinya datang dari pelbagai kumpulan dan jemaah yang telah lama ada sebelum wujudnya nasyid atau nasyid kontemporari. Kebanyakkan konten naysid adalah untuk pendidikan termasuklah doa, munajat, dan selawat serta Mawlid. Ianya menjadi amalan di kebanyakkan pondok, sekolah agama, kumpulan tarekat dan Sufi. Sumber-sumber konten dari zaman berzaman ini diangkat atau disadur oleh penasyid menjadi bahan mereka untuk dilagukan sehinggakan pada satu ketika JAKIM cepat bertindak untuk mengurangkan keinginan penasyid memuzikkan ayat-ayat Al Quran secara berleluasa bagi menghormati qalam Allah itu.
Sekadar Meraih Kembali Populariti?
Jadi di manakah penasyid Malaysia di kalangan kumpulan dan institusi ini? Mana visi yang lebih sistematik ke arah pembangunan semula nasyid atau konten-konten hiburan yang sesuai untuk ummah? Atau sekadar untuk meraih kembali populariti dan masing-masing berusaha untuk meningkatkan darjat diri?
Hakikatnya perlu kita fahami bahawa nasyid ini menjadi popular dan bertukar menjadi industri suatu ketika dulu apabila ianya mendapat suntikan modal dan sokongan dari pelabur bukan Islam dan syarikat rakaman antarabangsa. Perjuangan untuk agama semakin terhakis apabila sebahagian besar kumpulan-kumpulan nasyid ini yang asalnya dari bekas kumpulan AlArqam dan institusi pusat pengajian tinggi telah ditransform dijadikan seumpama sebagai artis dan seleberiti, dan konsep Islamik ini hanyalah hiasan kosmetik.
YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) |
Dr Zul.Bakri juga boleh mengusahakan agar setiap tahun dana zakat dan Baitulmal diagihkan kepada penggiat seni konten dan persembahan Islamik bagi tujuan syiar Islam menggunakan media baru dalam konteks fisabillah. Ini bagi mengurangkan tekanan komersialisasi atas sesebuah karya oleh penggiat seni agar tetap dapat mengeluarkan konten-konten Islamik secara konsisten. Membiarkan usaha kesenian ini ditunjangi dari sudut komersial semata-mata akan melahirkan penggiat yang tidak memperdulikan asas dakwah dan tarbiah Islamiyah.
Bantuan Dana dan sokongan juga dicadangkan disalurkan kepada pemain-pemain teknologi seperti mewujudkan platform pemasaran digital dan membolehkan kita dapat bersaing dan relevan kepada arus modenisasi terutama kepada anak-anak muda remaja. Saya dan ramai lagi umat Islam negara ini pernah berhadapan dengan pengaruh menggila anak-anak kita terhadap artis-artis Korea contohnya namun sebenarnya kesilapannya menunjuk semula kepada saya dan kita yang berada dalam industri muzik kerana gagal berbuat apa-apa.
Leave a Reply