IslamicTunesNews | SAYALAH YANG NAIKKAN BENDERA TANAH MELAYU 31 OGOS 1957

Hakiki Mohd Sarif Kalam memerlukan beliau menaikkan bendera Tentera Laut Diraja Malaysia 

Sebahagian
daripada tugas hakiki Mohd Sarif Kalam memerlukan beliau menaikkan bendera
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tatkala adanya majlis rasmi.

Bersama rakan setugas lain, beliau akan sentiasa
memastikan tidak berlakunya sebarang ‘kecacatan’ yang akan merosakkan upacara
yang sedang berlangsung.

Namun, pada tanggal 31 Ogos 1957 apabila
Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan mencapai kemerdekaan di Stadium Merdeka,
Kuala Lumpur, pesara tentera laut berusia 79 tahun itu merasa sedikit kelainan.

Keseluruhan tubuhnya gemuruh malah hampir menangis
kerana terlalu sayu menyedari dirinya berada di tengah lautan manusia untuk
melaksanakan satu-satunya tanggungjawab yang baginya tidak akan berulang,
katanya dalam temu bual di kediamannya di sini baru-baru ini.

Katanya, tugas itu lebih berat berbanding hari
biasa kerana perlu menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu (yang kini
dikenali sebagai Malaysia dan bendera dikenali sebagai Jalur Gemilang) secara
rasmi buat pertama kali untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

Sebelum itu, Mohd Sarif hanya melihat
proses-proses pembuatan bendera itu dari jauh sewaktu menjalani latihan
menaikkan bendera berkenaan di Depoh Latihan Polis (kini Pusat Latihan Polis)
di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Pakcik berkampung empat hari tiga malam di Depoh
itu untuk memastikan latihan menaikkan bendera Malaysia berjalan lancar dan
pada kesempatan itu, pakcik melihat bagaimana ia (bendera) dibuat.

“Memang rasa bangga kerana menjadi antara orang
yang pertama melihatnya, namun pakcik rasa pelik kerana perasaan (bangga) itu
belum cukup menyengat.

“Sampailah bila tiba detik bersejarah, perasaan
semangat itu lain, tambahan lagi bila kedudukan kita berada di tengah padang,
dikelilingi orang-orang kenamaan termasuk Perdana Menteri pertama Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj.

“Ia menjadikan detik itu lebih bermakna kerana
semua orang tertumpu kepada arah bendera Malaysia,” kata Mohd Sarif.

Katanya, beliau bertuah kerana diberi kepercayaan
yang tinggi oleh ketua unitnya untuk melaksanakan tanggungjawab itu, walaupun
pada hakikatnya beliau hanyalah seorang laskar biasa di bahagian komunikasi
TLDM ketika itu.

“Pakcik dipilih melakukan tugas itu ketika baru
berusia 20 tahun dan sudah dua tahun bekerja.

“Mujur, pakcik dibantu dua lagi individu bersama
pakcik ketika itu iaitu pegawai bentara kanan (Awang Mohd Salleh) dan laskar
kanan TLDM (Oliver Culvelt Samuel) dan kami melakukannya dengan sempurna sekali
sambil diiringi nyanyian lagu Negaraku,” kata beliau yang berasal dari Batu
Pahat itu.

Mohd Sarif berkata setelah beliau menamatkan
perkhidmatan dengan TLDM pada 16 April 1987, beliau kerap menceritakan kembali
detik-detik berkenaan dengan masyarakat sekeliling termasuk anaknya serta
saudara-mara.

Menurutnya, perkongsian beliau itu sebagai mengingatkan
golongan muda agar lebih menghargai dan memahami sebaiknya erti kemerdekaan
setelah pejuang negara bertungkus-lumus menghadapi pelbagai konflik ketika
menghadapi penjajahan asing dan konfrontasi bermula era 1940-an hingga 1960-an.

http://www.budijagat.com/

Posted

in

, ,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *